1 June 2007 – Utusan Malay
Batik bawa Emilia ke seluruh dunia
Oleh: NOOR FAZRINA KAMAL
INDUSTRI batik memang sinonim dengan orang Melayu khususnya yang datang dari Kelantan dan Terengganu.
Namun, kini tidak lagi kerana industri penghasilan batik tradisional telah melalui satu revolusi baru yang mana ia mula diterokai oleh kaum lain.
Tan Mei Shia, 25, atau lebih dikenali sebagai Emilia, adalah satu antara beberapa nama bukan Melayu yang cuba menerokai khazanah keindahan batik tempatan.
Usahanya dalam memartabatkan kaedah pembuatan batik di Malaysia malah di peringkat antarabangsa merupakan satu usaha murni yang patut boleh dibanggakan.
Cintanya pada batik mula terpupuk semasa mengikuti kursus reka cipta tekstil dan fesyen di Malaysia Institute of Art (MIA).
“Individu yang bertanggungjawab memperkenalkan batik kepada saya ialah Cikgu Fatimah Chik dan Cikgu Shamsudin,” ujarnya ketika ditemui di Galeri Seni TMS di Restoran Mustard Tree, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Emilia berkata, selain melukis batik di atas kain, dia juga gemar melakukan eksperimen sendiri dengan menggabungkan unsur-unsur seni kontemporari dalam seni batik.
“Di bawah bimbingan serta tunjuk ajar mereka, saya lebih gemar mewujudkan sesuatu yang lain dan lari daripada kebiasaan. Sebagai contoh, saya melukis motif batik dengan menggunakan kaedah tradisional di atas kepingan mozek untuk dijadikan perhiasan rumah,” ujar anak kedua daripada lapan beradik ini.
Emilia yang gemar mengembara ke seluruh dunia berkata, sebelum ini dia lebih terdedah kepada unsur-unsur kesenian orang asli di Australia.
Katanya lagi, kesenian orang asli di Australia banyak menggunakan unsur garisan dan titik halus.
Setelah mengenali batik, Emilia cuba menggabungkan kesenian orang asli di Australia dan hasilnya satu gabungan yang harmoni dan lebih versatil.
“Melalui pemerhatian saya, motif
batik di setiap negara berbeza mengikut amalan agama di negara tersebut.
“Sebagai contoh, di Malaysia, batik lebih digemari oleh kaum wanita maka motif bunga lebih banyak dihasilkan. Di Thailand pula, banyak menggunakan motif binatang seperti gajah.”
Dengan mengembara, Emilia mendapat banyak idea baru terutama apabila melihat bangunan-bangunan cantik yang terdapat di negara seperti Itali dan Perancis.
Jika dilihat dari setiap koleksi batik lukisan Emilia, terdapat sentuhan barat dan tradisional. Gabungan dua unsur itu menjadikan kesenian batik Malaysia lebih moden serta mempunyai elemen-elemen kompetitif.
Antara kejayaan yang pernah dikecapi gadis kelahiran Bentong ini ialah, mengadakan pameran di New York dan Poland pada Mac tahun lalu serta Paris pada April tahun yang sama.
Walaupun masih dikategorikan baru dalam industri ini, usaha gigih Emilia menampakkan hasil yang boleh dibanggakan.
Selain giat menghasilkan idea baru dalam motif batik, gadis ceria ini juga sering menganjurkan kelas dan bengkel pembuatan batik untuk pelajar sekolah dan untuk individu yang berminat.
“Perancangan jangka masa panjang saya ialah untuk membawa keindahan batik dan kesenian ke seluruh dunia,” ujarnya yang ingin membuat satu muzium khas yang menghimpunkan batik agar tidak luput ditelan arus kemodenan.

Recent Comments